Surah Al-Haaqqa - Malay Translation by Abdullah Muhammad Basmeih
ٱلۡحَآقَّةُ
Saat yang tetap berlaku itu
Surah Al-Haaqqa, Verse 1
مَا ٱلۡحَآقَّةُ
Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu
Surah Al-Haaqqa, Verse 2
وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا ٱلۡحَآقَّةُ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat)
Surah Al-Haaqqa, Verse 3
كَذَّبَتۡ ثَمُودُ وَعَادُۢ بِٱلۡقَارِعَةِ
Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu
Surah Al-Haaqqa, Verse 4
فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهۡلِكُواْ بِٱلطَّاغِيَةِ
Maka (masing-masing menerima azab dunianya) - adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya
Surah Al-Haaqqa, Verse 5
وَأَمَّا عَادٞ فَأُهۡلِكُواْ بِرِيحٖ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٖ
Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya
Surah Al-Haaqqa, Verse 6
سَخَّرَهَا عَلَيۡهِمۡ سَبۡعَ لَيَالٖ وَثَمَٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومٗاۖ فَتَرَى ٱلۡقَوۡمَ فِيهَا صَرۡعَىٰ كَأَنَّهُمۡ أَعۡجَازُ نَخۡلٍ خَاوِيَةٖ
Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang
Surah Al-Haaqqa, Verse 7
فَهَلۡ تَرَىٰ لَهُم مِّنۢ بَاقِيَةٖ
Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)
Surah Al-Haaqqa, Verse 8
وَجَآءَ فِرۡعَوۡنُ وَمَن قَبۡلَهُۥ وَٱلۡمُؤۡتَفِكَٰتُ بِٱلۡخَاطِئَةِ
Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan - dengan melakukan perkara-perkara yang salah
Surah Al-Haaqqa, Verse 9
فَعَصَوۡاْ رَسُولَ رَبِّهِمۡ فَأَخَذَهُمۡ أَخۡذَةٗ رَّابِيَةً
Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah
Surah Al-Haaqqa, Verse 10
إِنَّا لَمَّا طَغَا ٱلۡمَآءُ حَمَلۡنَٰكُمۡ فِي ٱلۡجَارِيَةِ
Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 11
لِنَجۡعَلَهَا لَكُمۡ تَذۡكِرَةٗ وَتَعِيَهَآ أُذُنٞ وَٰعِيَةٞ
(Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran
Surah Al-Haaqqa, Verse 12
فَإِذَا نُفِخَ فِي ٱلصُّورِ نَفۡخَةٞ وَٰحِدَةٞ
Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup
Surah Al-Haaqqa, Verse 13
وَحُمِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَٱلۡجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةٗ وَٰحِدَةٗ
Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur
Surah Al-Haaqqa, Verse 14
فَيَوۡمَئِذٖ وَقَعَتِ ٱلۡوَاقِعَةُ
Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat
Surah Al-Haaqqa, Verse 15
وَٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَهِيَ يَوۡمَئِذٖ وَاهِيَةٞ
Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh)
Surah Al-Haaqqa, Verse 16
وَٱلۡمَلَكُ عَلَىٰٓ أَرۡجَآئِهَاۚ وَيَحۡمِلُ عَرۡشَ رَبِّكَ فَوۡقَهُمۡ يَوۡمَئِذٖ ثَمَٰنِيَةٞ
Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu
Surah Al-Haaqqa, Verse 17
يَوۡمَئِذٖ تُعۡرَضُونَ لَا تَخۡفَىٰ مِنكُمۡ خَافِيَةٞ
Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi
Surah Al-Haaqqa, Verse 18
فَأَمَّا مَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَيَقُولُ هَآؤُمُ ٱقۡرَءُواْ كِتَٰبِيَهۡ
Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini
Surah Al-Haaqqa, Verse 19
إِنِّي ظَنَنتُ أَنِّي مُلَٰقٍ حِسَابِيَهۡ
Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)
Surah Al-Haaqqa, Verse 20
فَهُوَ فِي عِيشَةٖ رَّاضِيَةٖ
Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan
Surah Al-Haaqqa, Verse 21
فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٖ
Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 22
قُطُوفُهَا دَانِيَةٞ
Buah-buahannya dekat untuk dipetik
Surah Al-Haaqqa, Verse 23
كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ هَنِيٓـَٔۢا بِمَآ أَسۡلَفۡتُمۡ فِي ٱلۡأَيَّامِ ٱلۡخَالِيَةِ
(Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)
Surah Al-Haaqqa, Verse 24
وَأَمَّا مَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِشِمَالِهِۦ فَيَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي لَمۡ أُوتَ كِتَٰبِيَهۡ
Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku
Surah Al-Haaqqa, Verse 25
وَلَمۡ أَدۡرِ مَا حِسَابِيَهۡ
Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku
Surah Al-Haaqqa, Verse 26
يَٰلَيۡتَهَا كَانَتِ ٱلۡقَاضِيَةَ
Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi)
Surah Al-Haaqqa, Verse 27
مَآ أَغۡنَىٰ عَنِّي مَالِيَهۡۜ
Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun
Surah Al-Haaqqa, Verse 28
هَلَكَ عَنِّي سُلۡطَٰنِيَهۡ
Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku
Surah Al-Haaqqa, Verse 29
خُذُوهُ فَغُلُّوهُ
(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia
Surah Al-Haaqqa, Verse 30
ثُمَّ ٱلۡجَحِيمَ صَلُّوهُ
Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim
Surah Al-Haaqqa, Verse 31
ثُمَّ فِي سِلۡسِلَةٖ ذَرۡعُهَا سَبۡعُونَ ذِرَاعٗا فَٱسۡلُكُوهُ
Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 32
إِنَّهُۥ كَانَ لَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ ٱلۡعَظِيمِ
Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar
Surah Al-Haaqqa, Verse 33
وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ
Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin
Surah Al-Haaqqa, Verse 34
فَلَيۡسَ لَهُ ٱلۡيَوۡمَ هَٰهُنَا حَمِيمٞ
Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 35
وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنۡ غِسۡلِينٖ
Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur
Surah Al-Haaqqa, Verse 36
لَّا يَأۡكُلُهُۥٓ إِلَّا ٱلۡخَٰطِـُٔونَ
Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah
Surah Al-Haaqqa, Verse 37
فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَا تُبۡصِرُونَ
Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya
Surah Al-Haaqqa, Verse 38
وَمَا لَا تُبۡصِرُونَ
Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya
Surah Al-Haaqqa, Verse 39
إِنَّهُۥ لَقَوۡلُ رَسُولٖ كَرِيمٖ
Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia
Surah Al-Haaqqa, Verse 40
وَمَا هُوَ بِقَوۡلِ شَاعِرٖۚ قَلِيلٗا مَّا تُؤۡمِنُونَ
Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman
Surah Al-Haaqqa, Verse 41
وَلَا بِقَوۡلِ كَاهِنٖۚ قَلِيلٗا مَّا تَذَكَّرُونَ
Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan
Surah Al-Haaqqa, Verse 42
تَنزِيلٞ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ
(Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam
Surah Al-Haaqqa, Verse 43
وَلَوۡ تَقَوَّلَ عَلَيۡنَا بَعۡضَ ٱلۡأَقَاوِيلِ
Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan
Surah Al-Haaqqa, Verse 44
لَأَخَذۡنَا مِنۡهُ بِٱلۡيَمِينِ
Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami
Surah Al-Haaqqa, Verse 45
ثُمَّ لَقَطَعۡنَا مِنۡهُ ٱلۡوَتِينَ
Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta)
Surah Al-Haaqqa, Verse 46
فَمَا مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ عَنۡهُ حَٰجِزِينَ
Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya
Surah Al-Haaqqa, Verse 47
وَإِنَّهُۥ لَتَذۡكِرَةٞ لِّلۡمُتَّقِينَ
Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa
Surah Al-Haaqqa, Verse 48
وَإِنَّا لَنَعۡلَمُ أَنَّ مِنكُم مُّكَذِّبِينَ
Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 49
وَإِنَّهُۥ لَحَسۡرَةٌ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan)
Surah Al-Haaqqa, Verse 50
وَإِنَّهُۥ لَحَقُّ ٱلۡيَقِينِ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya)
Surah Al-Haaqqa, Verse 51
فَسَبِّحۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلۡعَظِيمِ
Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar
Surah Al-Haaqqa, Verse 52